Friday, May 18, 2012
   
Text Size

Site Search powered by Ajax

Media Dan Hiburan : Urgensi Dan Cabaran Semasa

User Rating: / 0
PoorBest 

Share

Daripada Aisyah R.A berkata:

“Bahawa Abu Bakr R.A telah datang ke rumahku, sedang di sampingku terdapat dua orang gadis Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Dan mereka berdua bukanlah penyanyi (dalam erti kata sebenar). Abu Bakr R.A  kemudiannya bertanya, “Adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan?”. Peristiwa ini berlaku ketika hari raya dan Baginda S.A.W kemudiannya menjawab, “Wahai Abu Bakr, terdapat perayaan bagi setiap bangsa, dan ini ialah perayaan kita”

(Hadis Sohih Riwayat Bukhari)

Pada dasarnya Islam sebagai agama kemanusiaan mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada tuntutan fitrah manusia. Walaubagaimanapun, Islam yang diwahyukan kepada Nabi S.A.W telah meletakkan beberapa asas kaedah dan peraturan untuk menjaga dan mengawal fitrah manusia dalam tuntutan hiburan supaya kesejahteraan manusia secara individu mahupun sebagai satu komuniti masyarakat terjamin.

Sehubungan itu, Biro Pembangunan Minda dan Akademik (BPMA) di bawah payung Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ 2011/2012) telah mengambil satu inisiatif dalam merangka dan menjayakan satu persidangan terbesar mahasiswa se-Jordan yang berfokuskan perbincangan mengenai konsep hiburan Islam sebenar.

Persidangan seperti ini begitu signifikan ke arah melahirkan masyarakat mahasiswa Islam yang betul-betul memahami fiqh Islam mengenai hiburan mahupun fiqh waqie’ yang memainkan peranan dominan dalam menentukan garis panduan industri hiburan di Malaysia terutamanya. MPPMJ yakin dengan program persidangan seumpama ini bakal memanfaatkan peserta dalam usaha mengharmonikan industri hiburan tanah air setanding dengan status industri hiburan di negara-negara Islam lain. Dengan lahirnya individu-individu yang memahami tuntutan hiburan ini dengan lebih menyeluruh, MPPMJ begitu berkeyakinan bahawa akan lahir golongan mahasiswa yang akan memikul tanggungjawab sosial ini dengan lebih serius sebagaimana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Taala.

Pemilihan tema persidangan kali ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran kepada peserta persidangan berkaitan peri pentingnya penguasaan media dalam kehidupan seharian, samada media cetak atau media elektronik. Umum mengetahui bahawa penguasaan media merupakan salah satu kaedah penguasaan pemikiran sesuatu bangsa, serta sebagai satu medium manifestasi kefahaman mereka terhadap kondisi sesuatu isu. Sedar atau tidak, umat Islam cukup lemah dan tidak mempunyai satu pakatan usaha dan strategi berkesan untuk menyaingi penguasaan media terutama daripada kalangan non-Muslim. Akhirnya, umat Islam hanya mampu menari mengikut rentak dan paluan gendang propaganda musuh Islam tanpa mampu bangkit berdiri atas kaki sendiri.

Selain itu, isu hiburan juga merupakan isu pandemik sejagat yang melanda sebahagian  besar umat Islam terutama di Malaysia. Filem-filem bertemakan cinta, lawak dan seram menguasai pentas tayangan sepanjang masa. Kebanjiran rancangan realiti TV, lagu-lagu cinta, filem-filem ‘Islamik’ dan sebagainya terus menyebabkan umat Islam semakin lena dalam kelalaian dan kejahilan mereka sendiri.  Persoalannya, sejauh manakah peranan golongan agamawan dan mereka yang mempunyai kefahaman agama bertindak serta menyusun strategi dalam mengharmonikan masalah ini akan dikupas dengan lebih mendalam sepanjang persidangan ini berlangsung.

Antara objektif utama persidangan ini ialah untuk melahirkan golongan mahasiswa yang mampu mendekati serta mengharmonikan industri hiburan dan media sesuai dengan kehendak Islam dan fitrah manusia. Kita sememangnya tidak boleh menyekat fitrah manusia atas nama agama, tetapi apa yang sepatutnya berlaku ialah proses pengharmonian secara kamil supaya matlamat hiburan dan objektif media tetap tercapai dalam rangka syariat agama.

Kesimpulannya, kedua-dua isu yang dipilih ini sememangnya mempunyai kaitan yang rapat dan signifikan terhadap kehidupan seseorang mahasiswa Muslim yang cakna dan prihatin. Kita mulakan dengan persiapan diri sendiri melalui kefahaman yang jelas, ditambah dengan persedian berbentuk material, supaya suatu hari nanti kita mampu untuk menguasai kedua-dua bidang ini demi kemaslahatan agama. Dan, semua ini anda akan dapati secara langsung bersama barisan panelis mantap sepanjang persidangan dua hari ini yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Ayuh, sama-sama sertai PERTAMA VI!!!

 

Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan Kali Ke-6 (PERTAMA VI)

24-25 Februari 2012

Dewan Kindi, Universiti Yarmouk, Jordan

 Layari laman web rasmi PERTAMA VI

Facebook Rasmi PERTAMA VI

 


 

Share


Kempen Infaq 1 Jordan

 

EASTpirasi : E-MAJALAH MPPMJ

 Klik Poster Untuk Membaca EASTpirasi
 

KARISMA KALI KE-5

Klik Poster Untuk Maklumat Lanjut