Friday, May 18, 2012
   
Text Size

Site Search powered by Ajax

Musim Sejuk : Hamparan Manfaat Buat Ummat

User Rating: / 0
PoorBest 

Share

Alhamdulillah, nampaknya musim sejuk telah pun tiba di Jordan. Dengan purata suhu sekitar 8°C di Irbid sepanjang musim ini, tentunya pelajar-pelajar Malaysia yang selama ini dibesarkan di Negara yang beriklim Khatulistiwa akan teruja dengan kedatangan musim sejuk yang dinanti-nantikan apatah lagi buat pelajar-pelajar baru yang pertama kali merasai perubahan cuaca di sini.


Musim sejuk merupakan musim yang sangat unik. Salah-satunya tentulah disebabkan oleh simbolnya iaitu salji yang mana dalam sekelip mata apabila ia turun membelai bumi, keadaan sekeliling kita menjadi putih saujana mata memandang seakan-akan tanah menjadi suci dan cantik untuk dikenang.


Sebagai seorang muslim, musim sejuk perlulah kita sambut dengan penuh kegembiraan. Bukanlah sesuatu yang sia-sia musim sejuk dijadikan melainkan untuk dimanfaatkan sepenuhnya untuk kita sebagai khalifah di bumi. Walaupun kadang-kala kita dimomokkan dengan suhunya yang mencengkam hingga ke tulang hitam tetapi musim sejuk sebenarnya adalah satu hamparan rahmat buat kita dari yang Esa.

 

 

Hujan


Keberadaan kita di bumi Jordan yang kontang ini sebenarnya sendiri telah mampu untuk membuka mata kita bahawa kehadiran musim sejuk adalah satu hadiah yang dinanti-nantikan semua. Selama 7 bulan kita berpanasan tanpa hujan, akhirnya di musim sejuk inilah Allah hadiahkan kita dengan air langit yang turun berterusan. Bekalan air dikembalikan malah kadang kala berlebihan sehingga menimbulkan takungan di jalanan.


Maka ketika ini kita dapat melihat betapa nikmatnya kita waktu ini tidak lagi perlu bimbang akan masalah catuan air malahan tumbuhan-tumbuhan dapat hidup subur sehingga tanah-tanah lapang kelabu koko di jalanan semuanya bertukar warna menjadi hijau terang benderang. Subhanallah indahnya pemandangan sekeliling kita.


Siang dan Malam


Selain itu, musim sejuk juga memberikan kita peluang untuk beribadah dengan lebih lapang. Waktu siang yang pendek di musim ini sudah tentu merupakan satu kelebihan seandainya kita mahu berpuasa. Tidak perlu keletihan menunggu waktu berbuka yang panjang, tidak perlu berpanas dahaga sepanjang siang malah kadang-kadang tempoh berpuasa hanyalah sekadar sekitar 8-10 jam, jauh lebih pendek dari yang biasa di Malaysia.


Malamnya yang panjang pula kita boleh manfaatkan dengan pelbagai perkara yang kita rancang. Maghrib yang tiba 4.30 petang tentunya memberi peluang kepada kita berehat dengan lebih panjang. Malahan tempoh untuk belajar juga dapat dilebihkan dari biasa. Andai sepanjang malam kita berada di rumah, bayangkan betapa banyaknya masa boleh dihabiskan dengan keluarga tercinta. Malahan kalau selama ini nak berqiyamullail agak sukar kerana kekurangan masa, maka musim sejuk inilah sebenarnya pintu keluar untuk penantian kita.  Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kita buat apa yang kita suka.


Keperluan


Tidak dinafikan di musim sejuk kadangkala berlaku peningkatan dari sudut keperluan diri seperti pakaian tebal, pemanas dan sebagainya yang jarang kita gunakan dahulu. Tapi itu adalah dari sudut keperluan jasmani. Cuba kita selidiki sejenak keperluan rohani iaitu dari sudut suasana sekeliling atau mungkin barangkali lebih senang kita sebut biah.


Di luar musim sejuk selama ini kita berhempas pulas menjaga mata apabila keluar dari rumah lantaran betapa ramai manusia yang berpakaian terdedah dihadapan kita. Nak tak hendak kita sendiri perlu mengawal diri dan menundukkan pandangan. Apabila musim sejuk menjelma, Alhamdulillah masalah ini Allah sendiri tolong selesaikan untuk kita.


Manusia dengan secara automatiknya akan memakai pakaian yang tebal dan menutup tubuh mereka sebanyak-banyaknya. Lebih tebal, lagi bahagia kerana boleh memberikan haba. Apatah lagi dengan keadaan di Jordan yang mana sistem pemanasnya tidaklah sehebat Negara-negara 4 musim yang lain.  Maka di sinilah akhirnya ujian mata ini berakhir dan kita dapat berehat seketika dari terseksa dengan pemnadangan yang ada.  Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah atas limpah kurniaannya.


Kekuatan


Namun begitu, musim sejuk ini juga merupakan satu ujian kepada kita. Bukan senang untuk menggagahkan diri bergerak aktif di musim ini terutama apabila kita digoda dengan kesedapan berhibernasi di bawah hiram yang empuk. Terdapat pelbagai lagi cabaran yang menanti kita di sini seperti air yang sejuk bak ais, perut lapar yang selalu bergendang-gendang dan sebagainya merupakan perkara-perkata yang perlu kita kawal dengan penuh istiqamah dan berdisplin.


Jika tidak kesannya apabila  kita terus berterusan membiarkan diri hanyut dibawa gelombang kemalasan, maka waktu inilah kita akan menghadapi banyak kegagalan diri. Sakit yang menimpa-nimpa, berat badan yang bertambah secara mendadak dan ulangkaji yang tertangguh sentiasa misalnya kelak akan menambahkan banyak keburukan ke atas diri kita. Lalu atas dasar inilah, musim sejuk sebenarnya dapat kita lihat sebagai satu medan latihan untuk kita lebih berdisplin dalam kehidupan.  Tanpa pengalaman seumpama ini mana mungkin kita dapat merasai bagaimana sukarnya untuk hidup dengan cara yang betul dan sihat di kawasan seperti kita sekarang.


Kesimpulannya, musim sejuk merupakan musim yang seharusnya mampu mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kita. Sebagai seorang muslim, kita perlulah bijak mengadaptasi suasana dengan cemerlang seperti ketika melalui perubahan cuaca ini .Janganlah musim sejuk ini kita jadikan alasan sebagai punca kelembapan kita mengharungi kehidupan sebaliknya genggamlah musim ini sebagai alat untuk kita mencapai kejayaan yang lebih berganda. Maka dapatlah di sini kita simpulkan bahawa musim sejuk bukan musim yang sia-sia malahan ia adalah bukti keagungan Allah yang nyata dan bermanfaatn untuk kita sebagaimana dalam firmannya:


(yaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penCIPTAAN langit dan bumi (seraya berkata): Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan SIA-SIA Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (QS. Ali `Imran, 3:191)

 

 

Tulisan,

Ainul Arina Madhiah

Medik Tahun 5

JUST

 

Share


Kempen Infaq 1 Jordan

 

EASTpirasi : E-MAJALAH MPPMJ

 Klik Poster Untuk Membaca EASTpirasi
 

KARISMA KALI KE-5

Klik Poster Untuk Maklumat Lanjut