Friday, May 18, 2012
   
Text Size

Site Search powered by Ajax

Cintai Baginda SAW

User Rating: / 0
PoorBest 

Share

 

Ramai insan berbangga terhadapmu

seluruh isi dunia terpesona jua

malah berzhikir seiring namamu

sehinggakan terungkap kata cinta

engkaulah mujahid tarikan dunia..

 

Pada subuh Isnin yang hening, tanggal 12 Rabiul Awal menjadi detik bersejarah. Tahun gajah membawa kemunculan seorang bayi lelaki padanya suatu keajaiban. Yatim ketika dilahirkan. Ayahnya Abdullah bin Abdul Muthalib pergi dahulu meninggalkan. Ibunya Aminah tinggal sendiri menyambut kehadiran pembela agama sepanjang zaman. Lahirnya Nabi pilihan,Muhammad S.A.W yang diutuskan oleh Allah membawa rahmat pada sekalian alam.

 


 

Firman Allah Subahanahu Wa Ta'ala dalam surah Al-Anbiya' ayat 107 :

Maksudnya : “Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam”.

 

Terkenang dialog dalam perjanjian aqabah kedua semasa Al Barra’ sedang membuat ucapan dan penegasannya itu. Abu Al- Haitham bin Al-Tihan berkata :

" Wahai Rasulullah, sesungguhnya antara kami dan orang Yahudi terpatri satu perikatan dan akan kami putuskan perikatan tadi, seandainya Allah telah menolongmu ( Rasulullah S.A.W ) mendapat kemenangan yang membolehkan kamu ( Rasulullah S.A.W ) beredar pulang ke pangkuan keluarga dan kaummu sendiri, adakah( rela) kamu meninggalkan kami?"

Rasulullah S.A.W tersenyum kemudian berkata:

“ Tidakkah kita ini sudah sedarah sedaging, dan runtuh sama-sama runtuh, aku ini sebahagian daripada kamu dan kamu sebahagian daripadaku, akanku perangi sesiapa yang memerangi kamu dan berdamai dengan sesiapa yang kamu damaikan.”

Begitu tinggi kasih sayang Nabi terhadap ummat baginda. Betapa pun jauh langkah baginda, namun tidak se sekali ummatnya ditinggalkan dalam kebuntuan, kesakitan dan kesusahan. Susah dan senang dirasai bersama.

Baginda menaruhkan pemikiran, darah, keringat dan segala yang dimilikinya demi ummat yang tercinta. Sehinggakan nyawa baginda menjadi taruhan. Fatimah ditanya oleh Aisyah buat kali kedua apa yang dibisikkan oleh Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W kepadanya sebelum kewafatan baginda.

 

Fatimah menjawab :

" Ya, ketika aku mendekatinya, baginda berkata : " Wahai Fatimah, Jibril telah membawa wahyu kepadaku sekali setahun dan pada tahun ini sebanyak dua kali. Ayahandamu diberi pilihan antara dunia dan Allah Ta'ala." Lantas baginda memilih Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Aku diberitahu bahawa nyawanya akan dicabut pada hari itu. Lalu aku pun menangis."

 

Perbanyakkanlah membaca Al-Quran. Hargailah pengorbanan Nabimu yang bersusah payah menerima wahyu, betapa berat di pundaknya. Tidak lain dan tidak bukan kalimah suci itu buat peneman, pedoman dan panduan demi ummatnya. Alangkah ruginya seseorang itu tiada masa untuk Al-Quran sekalipun dia seorang ahli jutawan,ahli politik dan sebagainya. Bacalah dengan hati. Semoga sampai titipan cintamu pada kekasih Ilahi.

Baginda pernah bersabda :

" Sebaik-baik ibadah ummatku (adalah) membaca Al-Quran " -Riwayat Al-Baihaqi dalam as-sya'b – 1865

 

Sekalipun keperitan yang dialami baginda ketika sakaratul maut, namun baginda tetap mengingati dan membela ummatnya. Sakitnya sakaratul maut itu berpuluh kali ganda, ia lebih perit daripada pedang yang ditusuk ke dalam. Maka, merintihlah baginda demi ummatnya :

"Ya Allah, beratkanlah ( sakaratul maut ) terhadapku, ringankan (sakaratul maut ) terhadap ummatku "

Betapa baginda mencintai, di saat akhir pemergiaannya masih terungkap kata ;

Ummatku ! Ummatku ! Ummatku !

 

Bila diteliti dari banyak segi, apakah ada sesuatu yang layak untuk kita taruhkan buat baginda ? Sungguh dalam kesan cinta Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W. Bilal bin Rabah terasa sungguh sayu sehingga beliau tidak mampu menyempurnakan azannya kerana terkenangkan baginda Muhammad Rasululullah S.A.W. Apabila beliau melaungkan " Asy-ha-du an-na Muhammad Rasululullah " ( aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad Rasulullah ) , berteriak manusia di rumah dan ada yang keluar, mereka bertanya " adakah diutuskan semula Rasulullah? "

Bagaimana hati kita bila mendengar nama baginda ? Setiap hari nama Nabi Muhammad S.A.W dilaung-laungkan. Itu tanda sambutan 'kelahiran Nabi' bukan hanya sekali dalam setahun tetapi beratus kali. Nama baginda dibesar-besarkan di seluruh pelusuk dunia tanpa henti seiring nama Rabbul Izzati. Teman-teman,jawablah seruan azan apabila dilaungkan. Kerana menjawab laungan azan itu sunnah. Moga hati dapat sentiasa berhubung dengan baginda Muhammad Rasulullah S.A.W. Baginda yang wajib disayangi berdasarkan firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 31 :

Maksudnya Maksudnya : Katakanlah: " Sekiranya kamu mencintai ntai kepada Allah, maka ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan akan mengampuni dosa-dosa kamu ". Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. "

 

Saban tahun tarikh itu diperingati. Ada yang membuat perarakan sambil berselawat pada hari Maulidur Rasul boleh dikira sebagai bukti kecintaan terhadap baginda. Ada yang menghadiri program-program ilmiah seperti ceramah dan sebagainya.

Begitulah mereka sanggup bersusah payah, membelanjakan wang dan melapangkan waktu demi insan tercinta yang telah banyak berkorban dan memberi sinar.

Tanda cinta bukan satu. Taruhan cinta pada baginda bukan hanya pada sesuatu tempoh. Semangat cinta dan penghargaan itu tidak hanya ketika sambutan Maulidur Rasul. Jika buktinya hanya pada hari kelahiran sahaja, di mana letaknya bukti kecintaan terhadap baginda pada hari-hari selainnya ?

 

Biarpun baginda tidak lagi bernafas pada ketika ini, namun biarlah sunnah baginda terus hidup dan bernafas panjang. Patuhilah perintah baginda. Pertahankanlah martabat, nama baik baginda dan musuhilah musuh-musuh baginda.

“ dan mereka yang membantu ( mempertahankan ) Allah ( agama ) dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar” Al-Hasyr : 8

Mulakan kehidupan seharian kita dengan cara yang disyariatkan dan mengikut sunnah. Moga akhirnya ia akan membuahkan hasil yang manis serta dapat member manfaat pada orang lain. Insha Allah.

Keluarlah wahai pemuda dan pemudi, teruskan langkahmu melanjutkan dasar perjuangan hidup baginda, memperjuangkan Islam yang hakiki iaitu Islam yang merangkum segenap bidang kehidupan sama ada dari segi budaya, ekonomi dan sebagainya.

 

Didiklah anak-anakmu wahai ayah dan ibu, supaya menyayangi serta mengikut jejak langkah nabimu dengan selalu berkongsi dan menyebarkan pengajaran sirah baginda Muhammad Rasulullah S.A.W.

 

Semoga pejuang-pejuang agama yang telah lahir pada hari ini dan bakal dilahirkan dapat sentiasa menjaga agama-Nya dan memelihara sunnah baginda. Selain itu, menjadi hamba yang ikhlas,selalu menghembuskan nafas-nafas keislaman dan dijauhkan dari sengketa yang membawa kepada perpecahan.

 

Buat diri dan sahabat-sahabat,

Harapan agar rindu, kasih sayang dan cinta yang kita titipkan terhadap baginda mendapat keberkatan dan rahmat-NYA. Tambahan pula, dapat dijadikan sumber kekuatan untuk terus memperjuangkan agama-NYA dan mengabdikan diri kepada Allah. Juga memberi sinar untuk terus sabar dan tabah dalam menerima pelbagai bentuk ujian kerana itu adalah jalan untuk meningkatkan martabat iman.

Bersamalah kita berusaha menyelusuri dan mempraktikkan sunnah dalam membela usrah dan daulah muslimah agar dunia dan seisinya mendapat barakah. Insha Allah. Allahu a'lam.

 

Mengharap..

derap langkah detik ini bukan ukiran terakhir cinta kami

nescaya benarlah hikmah semaian cinta dihati

kerana yang Maha Agung

siratan cinta yang kekal abadi..

 

Ya Habibullah

Ya Rasulullah

ikutan kami..

 

Anisatul Qalbi binti Mohd Sofiyuddin

Timbalan Bendahari Agung

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan

Sesi 2011/2012 

 

 

Share


Kempen Infaq 1 Jordan

 

EASTpirasi : E-MAJALAH MPPMJ

 Klik Poster Untuk Membaca EASTpirasi
 

KARISMA KALI KE-5

Klik Poster Untuk Maklumat Lanjut