Friday, May 18, 2012
   
Text Size

Site Search powered by Ajax

Perlembagaan MPPMJ

Perlembagaan MPPMJ

BAB PERTAMA

 

PENGENALAN

 

Fasal 1 NAMA

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)

Malaysian Student Representative Council Of Jordan

مجلس النيابة للطلبة الماليزيين بالأردن

(Selepas ini disebut MPPMJ atau Persatuan dalam perlembagaan ini)

 

Fasal 2 BAHASA RASMI

Bahasa Melayu

 

Fasal 3 MOTTO
Kepimpinan Bestari Kombinasi Kualiti

 

Fasal 4 LOGO

    1. ( Lihat Lampiran I – Logo MPPMJ)
    2. Tafsiran logo

4.2.1 – Warna biru, kuning, merah, dan putih

Warna-warna bendera Malaysia.

Biru- perpaduan dan persaudaraan

Kuning- kedaulatan dan ketatasusilaan

Merah- keberanian, kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi ujian dan cabaran

Putih- kesucian dan kemurnian

4.2.2- Tahun 1421H dan 2000M

Tahun penubuhan MPPMJ

4.2.3- Bulan sabit dan bintang

Islam sebagai pedoman dan sumber perundangan

4.2.4- Khat di sekeliling logo

” “مجلس النيابة للطلبة الماليزيين بالأردن

Nama MPPMJ dalam Bahasa Arab

 

Fasal 5 SUMBER RUJUKAN

5.1 Al-Quran

5.2 As-Sunnah

5.3 Al-Ijma’

5.4 Al-Qias

 

Fasal 6 ALAMAT

No. 24, Mohd Baseem Khamash, Sweifieh

P.O. Box 143310, Amman, Jordan.

www.mppmj.org

 

Fasal 7 PENAUNG DAN PENASIHAT

7.1 Penaung : Kedutaan Besar Malaysia Jordan

7.2 Penasihat : Education Malaysia Jordan (EMJ)

 

BAB KEDUA

 

DASAR DAN OBJEKTIF

 

Fasal 8 DASAR

Memantapkan kesatuan pelajar Malaysia di Jordan melalui kerjasama berpersatuan demi kebajikan masyarakat pelajar

 

Fasal 9 OBJEKTIF

9.1 Berperanan sebagai badan induk, saluran suara dan wakil bagi semua pelajar Malaysia di Jordan di peringkat Jordan dan di peringkat antarabangsa

9.2 Menyelaraskan pengurusan Persatuan-persatuan Zon dan Badan-badan Kebajikan Anak Negeri di bawah satu pentadbiran

9.3 Menggalakkan perkongsian idea dan tenaga untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan organisasi

 

BAB KETIGA

 

KEAHLIAN

 

Fasal 10 KEAHLIAN

10.1 Semua ahli rasmi/bersekutu/kehormat bagi persatuan zon dan badan kebajikan anak negeri yang berdaftar secara rasmi di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan.

10.2 Semua pelajar Malaysia yang menuntut di pusat-pusat pengajian Jordan.

 

Fasal 11 TANGGUNGJAWAB AHLI

11.1 Setiap ahli mestilah patuh kepada Perlembagaan MPPMJ dan berpegang teguh kepada dasar dan objektifnya

11.2 Menghormati serta mematuhi dasar dan peraturan MPPMJ

11.3 Tidak dibenarkan menganggotai dan melibatkan diri secara rasmi dengan pertubuhan politik di Jordan

11.4 Setiap ahli mestilah berusaha untuk melaksanakan dan mencapai objektif dan matlamat Persatuan

11.4 Menunjukkan imej yang positif dan tidak mencemarkan nama baik MPPMJ

 

Fasal 12 HAK KEAHLIAN

12.1 Semua ahli berhak menggunakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MPPMJ dengan mematuhi peraturannya tanpa sebarang halangan kecuali telah ada sabitan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi MPPMJ bahawasanya ahli tersebut telah tidak dibenarkan untuk menggunakan peralatan yang ditetapkan atau apa-apa jua peralatan atas alasan yang difikirkan munasabah bergantung kepada budi bicara Majlis Tertinggi MPPMJ.

12.2 Semua ahli berhak mengikuti semua aktiviti MPPMJ tanpa sebarang halangan kecuali telah ada sabitan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi MPPMJ bahawasanya ahli tersebut telah tidak dibenarkan untuk menghadiri aktiviti yang ditetapkan atau apa-apa jua aktiviti atas alasan yang difikirkan munasabah bergantung kepada budibicara Majlis Tertinggi MPPMJ

12.3 Semua ahli berhak mengetahui perkembangan dan perubahan dalam struktur organisasi serta pergerakan MPPMJ.

12.4 Semua ahli berhak menyuarakan pandangan kepada MPPMJ atau kepada pihak ketiga melalui MPPMJ dengan menggunakan saluran-saluran yang beretika.

 

BAB KEEMPAT

 

STRUKTUR PENTADBIRAN

 

FASAL 13 PENTADBIRAN MPPMJ

Pentadbiran MPPMJ dikendalikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat yang terdiri daripada Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Majlis Eksekutif.

13.1 Ahli-ahli Majlis Tertinggi:

i- Presiden -siswa

ii- Timbalan Presiden I -siswa

iii- Timbalan Presiden II -siswi

iv- Setiausaha Agung -siswa

v- Timbalan Setiausaha Agung -siswi

vi- Bendahari Agung -siswa

vii- Timbalan Bendaharai Agung -siswi

viii- Ketua Biro Pembangunan Minda dan Akademik -siswa

ix- Timbalan Ketua Biro Pembangunan Minda dan Akademik -siswi

x- Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan -siswa

xi- Timbalan Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan -siswi

xii- Ketua Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan -siswa

xiii- Timbalan Ketua Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan -siswi

13.2 (Lihat lampiran II – Heirarki pentadbiran )

13.3 Ahli Majlis Eksekutif

Semua Presiden/Yang DiPertua/Pengerusi (siswa) dan Timbalan/Naib Yang DiPertua/ Ketua Helwi (siswi) Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan yang tidak menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ.

 

FASAL 14 PERJAWATAN

14.1 Ahli Majlis Tertinggi

14.1.1 Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi dilakukan melalui pilihanraya yang dilakukan setiap tahun pada penghujung sesi pentadbiran dan diumumkan sehari selepas pilihan raya dibuat.

14.1.2 Dipilih dari kalangan ahli MPPMJ yang memenuhi syarat-syarat berikut:

i- Tarikh pemilihan adalah sekurang-kurangnya satu (1) tahun dari tarikh ahli tersebut tiba di Jordan.

ii-Tidak menyandang sebarang jawatan dalam Majlis Eksekutif MPPMJ sewaktu pemilihan dibuat.

iii- Masih berbaki sekurang-kurangnya satu (1) tahun pengajian di Jordan.

14.1.3 Tempoh perjawatan Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ adalah bermula daripada tarikh pemilihan rasmi sehingga Mesyuarat Agung Tahunan MPPMJ.

14.2 Ahli Majlis Eksekutif

14.2.1 Presiden/Yang DiPertua/Pengerusi (siswa) dan Timbalan Presiden/Naib Yang DiPertua/ Timbalan Pengerusi/Ketua Helwi (siswi) bagi persatuan zon dan badan kebajikan anak negeri yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan adalah secara langsung menjadi Ahli Majlis Eksekutif MPPMJ.

14.2.2 Tempoh pentadbiran Ahli Majlis Eksekutif MPPMJ akan berakhir setelah tamat tempoh pentdbiran mereka dalam Persatuan Zon dan Badan kebajikan Anak Negeri masing-masing.

 

FASAL 15 PERLETAKAN JAWATAN DAN PERLUCUTAN JAWATAN

15.1 PERLETAKAN JAWATAN

15.1.1 Sebarang permohonan perletakan jawatan hendaklah dibuat secara bertulis kepada Presiden MPPMJ berserta alasan munasabah.

15..1.2 Pengesahan perletakan jawatan hanya akan berlaku setelah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ.

15.2 PERLUCUTAN JAWATAN

Perlucutan jawatan hanya akan berlaku dengan sebab-sebab berikut:

      1. Terlucutnya jawatan dalam Persatuan Zon atau Badan kebajikan Anak Negeri masing-masing.
      2. Meninggalkan Jordan melebihi empat (4) bulan tanpa pemberitahuan bertulis kepada Presiden MPPMJ dengan alas an yang munasabah.
      3. Salah laku yang jelas bertentangan dengan dasar Islam.
      4. Meninggal dunia.

 

FASAL 16 KEKOSONGAN JAWATAN

16.1 Jika kekosongan jawatan berlaku dalam Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ, pemilihan baru akan diputuskan melalui mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat MPPMJ dan tempoh perjawatannya adalah sehingga tamat sesi pentadbiran tersebut.

16.2.1 Jika kekosongan jawatan berlaku dalam Ahli Majlis Eksekutif MPPMJ, pemilihan baru akan dibuat berdasarkan budi bicara mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ.

 

BAB KELIMA

 

BIDANG TUGAS

 

FASAL 17 BIDANG TUGAS UMUM

17.1 Majlis Tertinggi

17.1.1 Fungsi Majlis Tertinggi ialah mengelola dan mengatur hala tuju dan gerak kerja, serta membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan MPPMJ mengikut dasar am yang telah ditetapkan. Majlis Tertinggi juga hendaklah mengemukakan laporan yang berkaitan dengan kegiatannya sepanjang sesi lalu dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

17.1.2 Majlis Tertinggi hendaklah bermesyuarat sekiranya dirasakan perlu sekurang-kurangnya dua bulan sekali. Pengumuman bagi setiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada semua yang terlibat dua hari sebelum mengadakan mesyuarat. Presiden secara individu atau tidak kurang daripada empat orang Ahli Majlis Tertinggi bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya satu perdua(1/2) daripada bilangan Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat mengikut mana yang tersebut hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan memenuhkan korum mesyuarat.

17.1.3 Sekiranya timbul perkara mustahak yang memerlukan kelulusan Ahli majlis Tertinggi tetapi Mesyuarat Majlis Tertinggi tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Agung bolehlah mendapatkan kelulusan daripada Ahli Majlis Tertinggi secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Ahli Majlis Tertinggi boleh dianggap sebagai diterima :

  1. Masalah yang dibangkitkan itu mestilah dibutirkan dengan terang dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada semua Ahli Majlis Tertinggi.
  2. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Majlis Tertinggi mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu.
  3. Keputusan mestilah dibuat berdasarkan undi majoriti.
  4. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan dalam peringatan mesyuarat.

17.1.4 Majlis Tertinggi boleh memberi arahan kepada Setiausaha Agung dan Ahli Majlis Eksekutif atau ahli yang lain untuk menjalankan urusan MPPMJ dan melantik Pengarah dan kakitangan yang dirasakan mustahak. Majlis Tertinggi juga boleh menggantungkan dan melucutkan jawatan sebarang Pengarah dan kakitangan kerana tidak amanah dalam tugas atau denagn sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan MPPMJ.

17.1.5 Majlis Tertinggi boleh menubuhkan Jawatankuasa Khas sekiranya difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada Jawatankuasa Khas.

17.1.6 Berkuasa membatalkan sesuatu aktiviti yang bercanggah dengan dasar dan perlembagaan MPPMJ.

17.1.7 Berkuasa membatalkan sesuatu keputusan mesyuarat yang diadakan oleh majlis mesyuarat MPPMJ jika dirasakan perlu.

17.1.8 Majlis Tertinggi boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam perlembagaan ini.

17.2 Majlis Mesyuarat

17.2.1 Mengeluarkan arahan atau kenyataan umum bagi pihak MPPMJ.

17.2.2 Berhak melantik pengerusi sidang bagi Majlis Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.

17.2.3 Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya.

17.2.4 Membincangkan dan merancang perjalanan MPPMJ berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan serta bersesuaian dengan dasar MPPMJ.

17.2.5 Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

17.2.6 Hendaklah dihadiri sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada Ahli majlis Mesyuarat.

 

FASAL 18 BIDANG TUGAS KHUSUS

18.1 Ahli Majlis Tertinggi

18.1.1 Presiden

  1. Memimpin MPPMJ dan bertanggungjawab atas kemajuannya.
  2. Mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat dan Ahli Majlis Tertinggi serta bertanggungjawab atas keputusannya.
  3. Mewakili MPPMJ dalam hubungan dalaman dan antarabangsa.
  4. Memberikan arahan untuk mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat dan Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ.
  5. Mengeluarkan kenyataan umum kepada ahli dan pihak tertentu.
  6. Berhak menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan dalam memutuskan sebarang masalah yang memerlukan tindakan segera.

18.1.2 Timbalan Presiden I

  1. Memangku jawatan Presiden ketika ketiadaannya dan apabila keadaan memerlukan.
  2. Membantu dan bekerjasama dengan Presiden MPPMJ dalam menjalankan tugasnya.
  3. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.3 Timbalan Presiden II

  1. Bertanggungjawab memimpin dan menguruskan hal ehwal siswi.
  2. Membantu Presiden MPPMJ dalam melaksanakan tugas terutama yang berkaitan dengan siswi.
  3. Berhak membuat keputusan mesyuarat bahagian siswi dengan pengetahuan Presiden MPPMJ.
  4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.4 Setiausaha Agung

  1. Mengendalikan segala urusan kesetiausahaan MPPMJ.
  2. Menyimpan segala dokumen MPPMJ kecuali akaun dan buku-buku kewangan MPPMJ.
  3. Menyempurnakan jemputan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat dan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ dengan arahan Presiden.
  4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.5 Timbalan Setiausaha Agung

  1. Memangku jawatan Timbalan Presiden II MPPMJ semasa ketiadaannya.
  2. Bekerjasama dan membantu Setiausaha MPPMJ dalam tugas-tugasnya.
  3. Menyempurnakan urusan surat-menyurat bahagian siswi dengan arahan Timbalan Presiden 2 dengan pengetahuan Presiden MPPMJ.
  4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.6 Bendahari

  1. Bertanggungjawab atas segala urusan kewangan MPPMJ.
  2. Menandatangani dokumen pengeluaran wang bersama Presiden MPPMJ.
  3. Menyimpan segala dokumen yang berkaitan dengan kewangan MPPMJ.
  4. Bertanggungjawab menjaga segala aset MPPMJ.
  5. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.7 Timbalan Bendahari

  1. Merekod debit kredit kewangan bagi bahagian siswi.
  2. Bekerjasama dan membantu tugas Bendahari MPPMJ.
  3. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.8 Ketua Biro Pembangunan Minda dan Akademik

i- Bertanggungjawab merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai mahasiswa serta menjana pemikiran yang matang dan kritis di kalangan ahli.

ii- Merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik ahli.

iii- Mengetuai Biro Pembangunan Minda dan Akademik dan melantik jawatankuasa kecil.

iv- Menyediakan laporan tahunan Biro Pembangunan Minda dan Akademik.

      1. Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan

i- Bertanggungjawab merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bersangkutan dengan kebudayaan, kesenian dan sukan.

ii- Mengetuai Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan melantik jawatankuasa kecil.

iii- Menyediakan laporan tahunan Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan.

      1. Ketua Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan

i- Bertanggungjawab menguruskan perkara yang bersangkutan dengan hubungan MPPMJ dengan organisasi luar MPPMJ.

ii- Bertanggungjawab merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bertujuan menjalinkan hubungan antara MPPMJ dengan pertubuhan-pertubuhan, badan-badan dan organisasi serta masyarakat tempatan di Jordan.

iii- Mengetuai Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan dan melantik jawatankuasa kecil.

iv- Menyediakan laporan tahunan Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan.

      1. Timbalan Ketua Biro-biro

i- Membantu dan bekerjasama dengan Ketua Biro masing-masing.

ii- Memangku tugas Ketua Biro semasa ketiadaannya.

18.2 Ahli Majlis Eksekutif

18.2.1 Menjadi wakil bagi ahli Persatuan Zon atau Badan Kebajikan Anak Negeri yang diketuai dalam sebarang isu untuk dibincangkan di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat MPPMJ.

18.2.2 Menjalankan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Majlis Mesyuarat dengan sebaik mungkin.

18.2.3 Menghantar Laporan aktiviti bagi setiap Persatuan Zon atau Badan Kebajikan Anak Negeri yang diketuai pada penghujung setiap semester kepada Setiausaha Agung.

 

BAB KEENAM

 

MESYUARAT AGUNG

 

FASAL 21 : MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

21.1 Diadakan selepas Mesyuarat Agung Tahunan semua Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri.

21.2 Dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Agung Tahunan yang terdiri daripada:

i- Ahli Majlis Mesyuarat MPPMJ

ii- Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri

iii- Mantan Yang DiPertua/Presiden/Pengerusi (siswa) dan Naib YangDiPertua/Timbalan Presiden/Timbalan Pengerusi/Ketua Helwi (siswi)

21.3 Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli seperti yang disebutkan dalam Fasal 21 ceraian 2 hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat.

21.4 Jika korum tidak mencukupi setelah satu jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang dan membuat keputusan yang melibatkan semua ahli.

21.5 Mesyuarat Agung Tahunan ini hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

  1. Menerima laporan Majlis Mesyuarat berkenaan perjalanan MPPMJ bagi sesi lalu.
  2. Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi sesi lalu.
  3. Mengumumkan Ahli Majlis Tertinggi yang telah dipilih dalam pilihanraya Persatuan.

iv. Mengumumkan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru yang dipilih melalui pilihanraya.

v. Memilih dua (2) orang Juruaudit setiap satu (1) tahun sekali.

vi. Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan dalam mesyuarat itu.

21.6 Setiausaha hendaklah menghantar satu agenda mesyuarat termasuk peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira MPPMJ bagi sesi lalu yang telah diaudit kepada setiap ahli sekurang-kurangnya 3 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

21.7 Setiausaha Agung dan Timbalan Tetiausaha Agung bertindak sebagai Setiausaha Sidang I dan II bagi mencatat perjalanan Mesyuarat Agung termasuk sebarang pindaan, pengiraan dan penjumlahan undi sekiranya berlaku pengundian, sebarang cadangan dan bangkangan serta resolusi yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

21.8 Sekiranya berlaku persamaan undi bagi perkara-perkara yang memerlukan pengundian di dalam Mesyuarat Agung, Presiden MPPMJ berhak memberikan undi pemutus.

 

FASAL 22 : MESYUARAT AGUNG KHAS

22.1 Mesyuarat Agung Khas ini boleh diadakan :

  1. Apabila difikirkan mustahak oleh Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat

dan/atau

  1. Atas permintaan ramai secara bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli MPPMJ dengan menerangkan tujuan dan sebab perlunya diadakan. Permintaan ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung.

22.2 Dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat dan pihak-pihak yang difikirkan perlu oleh Ahli Majlis Tertinggi mengikut tujuan mesyuarat tersebut diadakan.

22.3 Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat itu diadakan.

22.4 Fasal 21.3 dan 21.4 dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan terpakai untuk Mesyuarat Agung Khas. Walaubagaimanapun, jika korum tidak mencukupi selepas dua jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan.

22.5 Setiausaha Agung hendaklah menghantar satu salinan draf peringatan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas kepada semua ahli dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat tersebut.

 

BAB KETUJUH

 

KEWANGAN

 

FASAL 23 : KEWANGAN

23.1 Sumber-sumber kewangan adalah daripada hasil-hasil projek ekonomi yang dijalankan serta sumbangan daripada mana-mana individu dan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang sah.

23.2 Pengeluaran wang

23.2.1 Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Persatuan hanya boleh digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan segala tujuan MPPMJ.

23.2.2 Presiden bersama Bendahari Agung berkuasa meluluskan perbelanjaan yang tidak melebihi JD 250 (Jordan Dinar Dua Ratus Lima Puluh) dalam tempoh dua (2) bulan. Perbelanjaan yang melebihi JD 250 (Jordan Dinar Dua Ratus Lima Puluh) bagi sesuatu masa adalah tidak dibenarkan selagi tidak mendapat kelulusan daripada Ahli Majlis Tertinggi terlebih dahulu.

 

FASAL 24 : TAHUN KEWANGAN

Tahun kewangan dikira selepas perlantikan Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ yang baru dan berakhir selewat-lewatnya 3 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan.

 

FASAL 25 : JURUAUDIT

25.1 Dua orang daripada Ahli Majlis Mesyuarat Agung Tahunan MPPMJ boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Para Juruaudit akan memegang jawatan tersebut selama setahun dan boleh dilantik semula.

25.2 Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Ahli Majlis Tertinggi

 

BAB 8 PILIHANRAYA PERSATUAN

 

FASAL 26 : TARIKH PILIHANRAYA

Pilihanraya MPPMJ hendaklah diadakan sebelum atau pada hari Mesyuarat Agung Tahunan.

 

FASAL 27 : BENTUK PILIHANRAYA

Pilihanraya adalah berbentuk undi sulit dan terbuka kepada semua Ahli Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang tersebut dalam fasal 21.2

 

FASAL 28 : JAWATANKUASA PILIHANRAYA

28.1 : Jawatankuasa Pilihanraya MPPMJ adalah sebuah badan bebas berkecuali yang ditubuhkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat MPPMJ.

28.2 : Semua ahli MPPM boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihanraya ini kecuali Ahli Majlis Mesyuarat MPPMJ selewat-lewatnya dua puluh hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

28.3 : Jawatankuasa Pilihanraya tersebut adalah terdiri daripada :

i. Pengarah Pilihanraya

ii. Setiausaha Pilihanraya

iii. Bendahari Pilihanraya

iv. AJK Pilihanraya

28.4 : Tempoh AJK Jawatankuasa Pilihanraya berakhir dengan terbentuknya ahli Majlis Tertinggi MPPMJ yang baru.

28.5 : Berhak mengundi tetapi tidak berhak diundi dalam pilihanraya.

28.6 : Ahli Jawatankuasa Pilihanraya tidak dibenarkan berkempen bagi mana-mana calon yang bertanding dalam pilihanraya.

28.7 : Sebarang keputusan berkaitan dengan pilihanraya MPPMJ yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya adalah muktamad dan sebarang campur tangan daripada sebarang pihak adalah tidak dilayan dan berhak ditolak.

 

FASAL 29 : TUGAS AM JAWATANKUASA PILIHANMYA

29.1 : Melaksanakan urusan pilihanraya termasuk menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihanraya.

29.2 : Menyelenggarakan urusan pencalonan seperti penyediaan borang pencalonan dan memastikan prosedur pencalonan berjalan dengan betul.

29. 3 : Mengira undi setelah pengundian dijalankan.

29.4 : Menjaga segala amanah yang diserahkan berhubung dengan pilihanraya.

29.5 : Menyediakan peraturan khas pilihanraya dan syarat-syarat berkenaan calon-calon pilihanraya.

 

FASAL 30 : TUGAS PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA

30.1 : Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya dan memastikan perjalanan Jawatankuasa mematuhi peruntukan perlembagaan.

30.2 : Mengesahkan senarai calon serta membatalkan pencalonan bagi mana-mana calon yang campur tangan dalam urusan Jawatankuasa Pilihanraya.

30.3 : Mengesahkan kertas keputusan pilihanraya bersama Setiausaha Jawatankuasa.

30.4 : Mengisytiharkan keputusan pilihanraya.

 

FASAL 31 : TUGAS SETIAUSAHA JAWATANKUASA PILIHANRAYA

31.1 : Mengedarkan pekeliling mesyuarat jawatankuasa dan menjalankan tugas yang selayaknya sebagai setiausaha di dalam Jawatankuasa.

31.2 : Melaksanakan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya.

31.3 : Mengesahkan kertas keputusan pilihanraya bersama-sama Pengarah Jawatankuasa.

 

FASAL 32 : TUGAS BENDAHARI JAWATANKUASA PILIHANRAYA

32.1 : Bertanggungjawab mengendalikan hal-ehwal kewangan yang berkaitan dengan Jawatakuasa Pilihanraya.

32.2 : Mencatat segala wang keluar masuk yang digunakan oleh Jawatankuasa Pilihanraya.

32.3 : Membantu Pengarah dan Setiausaha Jawatankuasa Pilihanraya dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

 

FASAL 33 : TUGAS AJK KECIL JAWATANKUASA PILIHANRAYA

Membantu mengendalikan segala urusan-urusan yang berkaitan dengan pilihanraya.

 

BAB 9 PINDAAN PERLEMBAGAAN

 

FASAL 34 : CARA PINDAAN PERLEMBAGAAN

34.1 Mana-mana Ahli Mesyuarat Agung Tahunan boleh mengemukakan usul dan cadangan secara bertulis kepada Setiausaha Agung untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi tujuan meminda Perlembagaan Persatuan.

34.2 Perlembagaan juga boleh dipinda dalam Mesyuarat Agung Khas yang dilakukan kerananya.

34.3 Sebarang pindaan yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas yang tersebut hendaklah dengan persetujuan dua pertiga (2/3) daripada ahli yang hadir dan berkuatkuasa serta-merta setelah diluluskan di dalam Mesyuarat Agung tersebut.

 

BAB 11 PEMBUBARAN

 

FASAL 35 : SEBAB-SEBAB PEMBUBARAN

35.1 MPPM akan dibubarkan sekiranya berlaku salah satu daripada situasi berikut:

  1. Tiada pelajar Malaysia yang berada di Jordan
  2. Tidak cukup korum untuk membentuk Ahli Majlis Tertinggi MPPMJ
  3. Sebab-sebab lain yang difikirkan munasabah

 

FASAL 36 : CARA-CARA PEMBUBARAN

36.1 MPPMJ boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan dua pertiga (2/3) daripada jumlah Ahli Majlis Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

36.2 Sekiranya MPPMJ hendak dibubarkan secara yang tersebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan MPPMJ yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

36.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran.

36.4 Pembubaran hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia Jordan.

 

LAMPIRAN I (LOGO MPPMJ)

 

 

LAMPIRAN II (CARTA ORGANISASI MPPMJ)

PENAUNG

PENASIHAT

PRESIDEN

TIMBALAN PRESIDEN I

TIMBALAN PRESIDEN II

SETIAUSAHA AGUNG

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG

BENDAHARI AGUNG

TIMBALAN BENDAHARI AGUNG

KETUA BIRO PEMBANGUNAN MINDA DAN AKADEMIK

TIMBALAN KETUA BIRO PEMBANGUNAN MINDA DAN AKADEMIK

KETUA BIRO KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN

TIMBALAN KETUA BIRO KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN

KETUA BIRO PERHUBUNGAN DAN KEMASYARAKATAN

TIMBALAN KETUA BIRO PERHUBUNGAN DAN KEMASYARAKATAN

AHLI-AHLI MAJLIS EKSEKUTIF